Saturday, May 9, 2009

Orang ramai tidak perlu bimbang- Mohd Ali


Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam menasihatkan keluarga pelatih Akademi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang menerima rawatan di Hospital Melaka (HM), dipercayai akibat diserang meningitis supaya tidak bimbang kerana pelatih-pelatih terbabit sudah stabil.

Serentak dengan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya bertenang kerana pihak HM telah mengambil langkah-langkah serta tindakan yang berkesan bagi membendung penyakit itu.

Semalam seramai 13 pelatih akademi JPJ itu telah dimasukkan ke wad HM akibat diserang penyakit berkenaan selepas menjalani latihan di luar akademi selama tiga hari bermula 27 April lalu. Seorang dari mereka, Mohd Hafiz Zainudin, 24, dari Kelantan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke HM.

Semua pelatih-pelatih terbabit dilaporkan menunjukkan gejala utama iaitu deman, disertai dengan salah satu atau lebih daripada tanda-tanda sakit kepala, sakit sendi, keletihan, batuk, loya, kejang perut dan mengigil. Dua dari mereka sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala 11 lagi di wad pengasingan.

Mohd Ali yang ditemui pemberita selepas melawat pelatih-pelatih berkenaan di HM berkata, beliau mengucapkan takziah kepada keluarga Mohd Hafiz dan berharap mereka bersabar, semoga roh Allahyarham dirahmati Allah.

"Kalau tengak apa yang saya lihat, semua pelatih-pelatih kelihatan ceria, mereka tidak berada di dalam keadaan yang membimbangkan seperti yang kita sangkakan," jelasnya.

Tambahnya, setakat ini, pelatih-pelatih yang terlibat hanya pelatih Akademi JPJ sahaja, tidak ada kes daripada kawasan yang lain.

Turut sama mengiringi Mohd Ali melawat pelatih-pelatih Akademi JPJ di HM Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Ghazali Othman dan Pengarah HM, Dr. Dul Hadi Mat Junit.

No comments: