Thursday, May 14, 2009

USAH CETUS SUASANA PANIK.. Wabak Meningitis Terkawal - MOHD ALI


TIANG DUA, 13 Mei - Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam menasihatkan orang ramai tidak mencetuskan suasana panik ekoran wabak yang disyaki meningitis membabitkan pelatih-pelatih Akademi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Katanya, ibu bapa pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SKJC) Tiang Dua dan penduduk berhampiran juga tidak perlu bimbang kerana keadaan terkawal sebagaimana jaminan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan.

"Jangan risau, Kementerian Kesihatan sendiri sudah mengesahkan situasi penyakit meningitis di sini terkawal. Kita juga tidak perlu pakai topeng muka kerana ia akan mencetuskan suasana seolah-oleh wabak ini kritikal dan tidak terkawal," kata Mohd Ali.

Ketua Menteri berkata demikian pada sidang media selepas meninjau dan menemui murid-murid dan tenaga pengajar di sekolah berkenaan, pagi tadi.

Turut serta, Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri, Datuk Md Yunos Husin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Ayer Molek; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Kesihatan dan Pembangunan Keluarga Negeri, Norpipah Abdol; Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Ghazali Othman dan Ahli Lembaga Pengelola SRJKC Tiang Dua, Liaw Ah Kiew.

Ketua Menteri juga sempat meluangkan masa beramah mesra bersama murid-murid yang sedang bermain bola keranjang di perkarangan sekolah yang terletak kira-kira 300 meter dari Akademi JPJ berkenaan.

Beliau juga memberitahu bahawa semua aktiviti kokurikulum di sekolah yang menempatkan 151 murid termasuk 25 murid pra-sekolah itu tidak perlu dihentikan sebaliknya dijalankan seperti biasa kerana kawasan sekolah berkenaan disahkan selamat daripada jangkitan bakteria meningitis.

"Orang ramai tidak perlu bimbang. Saya sendiri telah melawat dan bersalaman dengan pelatih-pelatih yang dijangkiti bakteria meningitis, pagi tadi," ujar Ketua Menteri lagi.

Jelas beliau, pertambahan bilangan mereka yang terpaksa dikuaratin akibat dijangkiti bakteria meningitis di Hospital Melaka (HM) adalah terdiri dari kalangan pelatih Akademi Jabatan Pengangkutan Jalan Tiang Dua.

"Tiada jangkitan berlaku kepada individu dari luar akademi berkenaan, malah pelatih yang dijangkiti juga kini semakin sembuh," ujar Mohd Ali. MHIOnline

Sila kunjungi : www.alirustam.com

No comments: