Sunday, June 14, 2009

TERENGGANU HASRAT CONTOHI MELAKA DALAM PELANCONGAN


AYER KEROH, 12 Jun- Kerajaan Negeri Terengganu berminat untuk mempelajari usaha Melaka yang berjaya membangunkan sektor pelancongan negeri ini dengan pesat sekali sehingga mampu menarik lebih 7.2 juta pelancong tahun lepas.

Menteri Besar Terengganu, Dato' Ahmad Said berkata, Terengganu perlu mencontohi Melaka kerana negeri tersebut akan menjadikan sektor pelancongan sebagai tulang belakang ekonominya pada masa depan.

"Kita lihat berlaku anjakan yang hebat dalam industri pelancongan di Melaka," kata beliau dalam sidang media selepas menghadiri Taklimat Pembangunan Negeri Melaka di Seri Negeri, hari ini.

Ahmad dan isteri, To' Puan Norliza Mahmud bersama 130 delegasi dari Terengganu kini dalam rangka lawatan selama empat hari ke Melaka, mulai semalam.

Ahmad memberitahu, Terengganu yang dikenali sebagai Bandaraya Warisan Pesisir Air mempunyai banyak produk pelancongan seperti sungai, tasik dan pulau yang boleh dieksploitasi untuk pelancongan pada masa depan.

Dalam sidang media bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Menteri Besar Terengganu turut kagum dengan kemampuan Melaka menarik lebih 7.2 juta pelancong tahun lepas berbanding Terengganu yang hanya menerima 3.5 juta pelancong.

"Ini merupakan kunjungan kali pertama untuk melihat anjakan hebat industri pelancongan di Melaka dan kita lihat banyak persamaan idea yang digunakan di Melaka boleh diaplikasikan di Terengganu.

"Kita mahu menjadikan industri pelancongan sebagai tulang belakang ekonomi negeri dan kita tidak mahu bergantung kepada industri minyak dan gas semata-mata kerana kedudukan harga minyak yang rendah kini," katanya.

Sebelum itu,taklimat mengenai pembangunan Melaka telah disampaikan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Zainal Hussin merangkumi pelbagai aspek termasuk pelancongan, pentadbiran dan 32 indikator negeri maju yang bakal dicapai Melaka pada tahun hadapan.

Antara perkara yang menarik minat delegasi Terengganu ini ialah berhubung pelaburan asing di Melaka dan kaedah mengendalikan projek besar seperti Melaka River Cruise, Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM). MHIonline

Untuk informasi dan aduan online sila kunjungi: www.alirustam.com

No comments: