Monday, June 22, 2009

Usaha Perbaiki Sistem Pengangkutan Awam MELAKA CADANG SYARIKAT BAS DIBERI SUBSIDI MINYAK


BANDARAYA MELAKA, 22 Jun - Kerajaan negeri bercadang memberi subsidi minyak kepada syarikat-syarikat bas di negeri ini dalam usaha memperbaiki sistem pengangkutan awam itu mulai tahun depan.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, sekiranya perkara itu menjadi kenyataan, Melaka menjadi negeri pertama yang memberikan subsidi itu kepada sistem pengangkutan awam.

Katanya, pemberian subsidi minyak itu merupakan satu daripada dua cadangan permulaan yang dikemukakan untuk meningkatkan prestasi pengangkutan bas awam di Melaka yang sering menjadi rungutan ramai.

"Kita ikut sistem ini seperti di Melbourne, Australia. Di sana semua bas yang dimiliki syarikat swasta, tapi Kerajaan Negeri bayar mereka ikut elaun perbatuan.

"Maknanya, ada penumpang atau tidak, syarikat bas boleh melalui kawasan itu seperti dijadualkan dan mereka boleh buat tuntutan setiap kilometer kepada Kerajaan," katanya.

Mohd Ali berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Ulang tahun ke-50 Persatuan Pengusaha Bas Negeri Melaka (MOOA) di sebuah hotel di bandar ini, di sini, malam tadi.

Turut hadir, Presiden MOOA, Razali Endun dan Presiden Persatuan Pengusaha Bas Semenanjung, Datuk Dr. Ashffhar Ali.

Mohd. Ali memberitahu, sistem subsidi itu secara tidak langsung akan menambah kecekapan dan ketepatan masa laluan bas mengikut jadual ditetapkan.

"Jadi di sini, bilangan penumpang bukan lagi keutamaan syarikat bas, tetapi berapa jauh perjalanan mereka yang mendatangkan pendapatan.

"Di Melaka, kita ada 250 buah bas dan jika Kerajaan Negeri perlu beri subsidi sekitar RM3 juta atau RM4 juta setahun, saya fikir tahun depan kita sudah boleh mulakan sistem ini," katanya.

Tambahnya, kajian terhadap sistem itu telah dimulakan sejak dua minggu lalu untuk melihat kemampuan Kerajaan Negeri menyediakan nilai subsidi tersebut.

Ketua Menteri menjelaskan, cadangan kedua ialah Kerajaan Negeri menyewa kesemua 250 buah bas syarikat swasta di negeri ini pada kadar RM10,000 sebulan.

Modul itu katanya, telah digunakan oleh Syarikat pengendali bas Panorama Melaka, PM Cultural & Tourism Sdn. Bhd. (PMCT).

Jelas beliau, mengikut konsep bas Panorama itu, PMCT yang merupakan anak syarikat Kerajaan Negeri menyewa bas tersebut daripada syarikat pemilik bas.

"Selain sewa dibayar, kita juga akan menanggung kos bahan api sementara syarikat cuma sediakan kos pemandu dan kerosakan bas.

"Kita juga akan tentukan laluan dan waktu perjalanan supaya semua bas ini tidak berkongsi laluan yang sama yang akan merugikan," katanya.

Bagaimanapun, Mohd. Ali berkata, kos terhadap cadangan tersebut lebih tinggi berbanding cara subsidi minyak.

"Berikutan itu, kita perlu memperuntukkan RM10.5 juta setahun untuk menyewa semua bas ini secara kasarnya.

"Soalnya sekarang ini, di mana kita hendak cari duit sebanyak itu dan saya rasa jumlah itu terlalu tinggi," katanya. MHIonline

Untuk informasi & aduan online sila kunjungi: www.alirustam.com

No comments: