Friday, January 22, 2010

NAJIB PUJI MELAKA. MoU Dengan Syarikat Bioteknologi India


NEW DELHI, 22 Jan - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengalu-alukan langkah kerajaan Negeri Melaka mengadakan usahasama dengan syarikat India dalam bidang bioteknologi melibatkan pelaburan kira-kira RM500 juta.

``Ini merupakan satu langkah yang baik dalam konteks hubungan Malaysia-India kerana India mempunyai kepakaran dalam bidang bioteknologi,'' katanya.

Bercakap pada sidang akhbar selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) mengenainya di sini, Perdana Menteri berharap kerjasama itu akan menghasilkan pendapatan bukan sahaja di peringkat penyelidikan tetapi juga menjadi produk komersial yang menguntungkan.

Majlis menandatangani MoU itu dilakukan bersama oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam mewakili Melaka Biotech Holdings manakala Vanguard Creative diwakili Pengerusinya, Vishwanath Komplella dan Pengarah Vivo Biotech, Datuk A Chandrakant.

Sementara itu Ketua Menteri tiba di Chennai petang semalam dari New Delhi dalam rangka lawatan kerja bersama Perdana Menteri.

Pagi tadi, Perdana Menteri dan rombongan telah menghadiri majlis perjanjian persefaham (MoU) membabitkan 13 syarikat Malaysia dengan syarikat yang berpengkalan di sini.

Selepas majlis, Perdana Menteri dan diiringi Ketua-Ketua Menteri dan Menteri Besar termasuk Mohd Ali menunaikan solat Jumaat di Anjuman kira-kira tiga kilometer dari hotel penginapan rombongan Malaysia.

Selepas solat, Perdana Menteri dan Mohd Ali turut meluangkan masa melawat Al-Haj T A Abdul Wahid Sahib, rumah perlindungan kanak-kanak yang terbesar di sini.

Pada sebelah petang, Perdana Menteri dan Menteri Besar, Ketua Menteri dan para pegawai kanan menghadiri persidangan meja bulat 'Business Opportunities In Malaysia' di hotel penginapan.

Dalam pada itu, Ketua Menteri turut meluangkan masa mengadakan perbincangan dengan ahli-ahli perniagaan yang berminat untuk melabur di Melaka.

Antara pelabur terbabit ialah dalam bidang tele medicine, pendidikan dan bioteknologi. Pada malam ini rombongan akan diraikan dalam majlis makan malam anjuran Kerajaan Chennai. Rombongan dijangka berlepas pulang jam 1 pagi waktu tempatan dan dijadual tiba di Kompleks Bunga Raya KLIA jam 7 pagi esok.

No comments: